Friday 2 December 2016

Malaysia Fokus Pengurusan Biodiversiti Pada COP13 CBD Cancun

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengadakan pertemuan bersama Pengarah Ekskutif UN Environment Programme (UNEP) Erik Solhiem mengenai bantuan untuk pemuliharaan hutan bagi program Central Forest Spines" di Semenanjung Malaysia dan "Heart of Borneo" di Sabah Dan Sarawak di CancĂșn, Mexico kelmarin. 
CANCUN: Penglibatan Malaysia pada Mesyuarat Peringkat Menteri bagi Persidangan Ke-13 kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CoP13 CBD) dan Mesyuarat Bilateral Berkaitan Biodiversiti pada tahun ini adalah penting kerana Konvensyen kali ini akan menbincangkan isu berkaitan usaha mengarusperdanakan pengurusan biodiversiti.

Menurut kenyataan media Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dalam mengarusperdanakan pengurusan biodiversiti ada terdapat empat sektor utama iaitu perhutanan, pelancongan, pertanian dan perikanan. 

"Dengan adanya kefahaman di kalangan negara parti terhadap kepentingan usaha mengarusperdanakan biodiversiti dalam empat sektor tersebut maka elemen kekeliruan dapat dilelakkan agar sumber biodiversiti sentiasa terperlihara dan diuruskan secara mapan."

Junaidi juga menambah, di samping itu, pihak Sekretariat CoP13 CBD juga telah menyediakan Cancun Declaration on Mainstreaming the Conservation and Sustainable Use of Biodiversity For Well-Being yang akan menjadi teks utama perbincangan di sesi Peringkat Menteri.

Junaidi mengetuai delegasi negara ke mesyuarat tersebut yang berlangsung di Cancun, Mexico dari 1 Disember sehingga 7 Disember 2016 di Cancun, Mexico.

Konvensyen Kepelbagaian Biologi (Convention on Biological Diversity - CBD) merupakan salah satu konvensyen alam sekitar yang diterima oleh masyarakat dunia semasa Earth Summit di Rio de Janeiro, Brazil (Rio Summit) pada tahun 1992. 

Konvensyen ini bertujuan untuk memelihara dan menggalakkan penggunaan berkekalan kepelbagaian biologi serta menggalakkan perkongsian faedah secara adil dan saksama hasil daripada penggunaan sumber biologi.

Berhubung Konvensyen tersebut, Malaysia telah menyediakan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025 yang memberikan panduan dalam pengurusan biodiversiti negara selari dengan inisiatif Strategic Plan for Biodiversity 2011-2020 dan Aichi Biodiversity Targets.

Malaysia juga telah menjadi ahli kepada beberapa perjanjian alam sekitar pelbagai hala (Multilateral Environmental Agreements - MEAs) selaras dengan komitmen negara dalam bidang alam sekitar dan kepelbagaian biologi. 

Di samping melaksanakan obligasi sebagai ahli, Malaysia juga berpeluang mendapat bantuan kewangan, teknikal serta teknologi melalui keputusan dan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di bawah MEAs ini. 

Kehadiran Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar ke Mesyuarat Peringkat Menteri merupakan tanggungjawab negara sebagai ahli kepada MEAs. 

Sebagai ahli kepada CBD, negara mempunyai obligasi dan komitmen untuk melaksanakan keputusan-keputusan yang bakal diterima pakai semasa mesyuarat ini. 

Sehubungan itu, penglibatan Malaysia di Mesyuarat Peringkat Negeri bagi memastikan kepentingan negara dijaga dan memastikan sebarang keputusan yang dibuat tidak mengikat negara atau menjejaskan kepentingan negara dalam mencapai pembangunan mapan.

Persidangan Parti-parti (Conference of Parties – CoP) bagi CBD diadakan setiap 2 tahun sekali bagi memastikan komitmen yang terdapat dalam Konvensyen ini dilaksanakan mengikut keputusan yang telah dibuat oleh CoP. CoP juga berperanan menetapkan hala tuju dalam pengurusan biodiversiti untuk dilaksanakan oleh setiap negara ahli. 

Malaysia telah menjadi ahli kepada Konvensyen ini sejak tahun 1994 dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar merupakan focal point bagi CBD.

No comments:

Post a Comment